mutakhir

'Raja Muda kerajaan jin' dibawa periksa mental

Oleh Rosli Ilham

LELAKI mendakwa ditabalkan sebagai ‘Raja Muda’ oleh kerajaan jin sekali lagi ditangkap selepas mengamuk dan merosakkan cermin surau di Bukit Bauk, Dungun, petang semalam.

Dalam kejadian 6.05 petang itu, lelaki berusia 34 tahun itu ditangkap beberapa anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Difahamkan suspek bertindak demikian ketika dipujuk anggota penguat kuasa yang ingin membawanya untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Baharu.

Selepas merosakkan cermin surau terbabit, lelaki itu melarikan diri bersembunyi di dalam kawasan hutan di kawasan terbabit selama beberapa jam.

Bagaimanapun, dia akhirnya keluar daripada kawasan hutan terbabit untuk ke surau mengambil pakaiannya sebelum menyerah diri kepada penguat kuasa yang menunggunya di surau berkenaan.

Menurut sumber, lelaki terbabit sebelum ini didapati tinggal di surau berkenaan sejak Oktober tahun lalu dengan memasang lilin di semua cermin tingkap surau terbabit serta meletakkan kayu mimbar dan sofa di tempat ibadat berkenaan.

Katanya, perbuatan lelaki itu menyebabkan orang ramai tidak berani berhenti solat di surau terbabit.

“Lelaki mendakwa dilantik kerajaan jin di Bukit Bauk itu akhirnya ditangkap pada 10 Mac lalu sebelum dia dibebaskan dengan jaminan JHEAT.

“Bagaimanapun, suspek kembali melakukan perbuatan sama sejak dua minggu lalu dan kali ini dia menghiaskan surau terbabit dengan menggantungkan kain berwarna kuning sebelum dia ditangkap buat kali kedua dan diarah menjalani pemeriksaan mental,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan lelaki terbabit.

Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dibawa ke IPD Dungun sebelum diserahkan kepada anggota penguat kuasa JHEAT untuk dihantar ke Hospital Permai Johor, 9 malam tadi.

“Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 dan seksyen 180 (5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001,” katanya.

Berita berkaitan

Raja bunian dan jin `masuk' mahkamah

'Pelik sungguh perangai...'

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 5:34pm
d