mutakhir

'Hidup mati bukan untuk dimainkan'

Oleh Idris Musa

“SOAL mati dan hidup bukan perkara untuk dimainkan,” kata Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, malam tadi.

Beliau berkata, Allah SWT boleh ambil nyawa sesiapa pada bila-bila masa, tidak kisah mereka muda atau tua.

“Saya kenal ramai YB (Yang Berhormat) dari BN (Barisan Nasional) dan Pas yang umurnya lebih tua dari 66 tahun. Tidak pernah sekali terfikir bila nyawa mereka akan ditarik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ciapan di Twitter sebagai reaksi kepada kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mengulas usia calon Bersatu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, semalam.

Hasni pada majlis pelancaran jentera BN untuk PRK itu dipetik sebagai berkata: “Calon mereka saya kira 66 tahun, tahun depan 67 tahun, saya harap kita tiada PRK lagi. Penat PRK ni.”

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas imam yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK itu.

Sementara, bagi BN pula dilaporkan lebih 3,000 penyokong mereka yang menunggu lebih dua jam di Dewan UMNO Pontian, pulang hampa apabila dimaklumkan tiada pengumuman calon hari ini.

PRK Tanjung Piai pada 16 November ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 12:01am
    d