mutakhir

PRK Tanjung Piai: 'Saya bukan berkempen'

Oleh Togi Marzuki

“SAYA bukan berkempen tetapi (hadir) atas undangan pihak penganjur,” kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66.

Karmaine memberi reaksi itu ketika menghadiri program Sumbangan Asnaf di Dewan Haji Salleh, Kampung Sungai Burung, pekan Nanas di Pontian, hari ini.

Dia yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kehadirannya dalam program itu bagi menyampaikan bantuan berupa keperluan harian kepada 50 golongan asnaf hasil sumbangan Tabung Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN).

“Menang atau kalah adat pertandingan, namun apa diharap siapa saja yang terpilih dalam PRK itu perlu menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Melalui program yang dihadiri ini, saya amat terharu kerana masih ada golongan tidak berkemampuan dalam arus pemodenan kini,” katanya ditemui dalam program itu.

Beliau berkata, jika dipilih rakyat pada PRK Tanjung Piai kelak, beliau akan menjalankan tugas yang diamanahkan dari pelbagai aspek, termasuk meningkatkan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan di kawasan itu.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammed dikatakan mempersenda calon PH kerana sudah berusia 66 tahun dan diharap tiada PRK akan datang, beliau sudah memaafkan mereka lebih awal lagi.

“Biasalah tu... apa pun kita sebagai hamba Allah perlu bersabar, sesungguhnya apa jua rezeki dan maut adalah atas ketentuan-Nya.

“Selain mentaati akan perintah-Nya, sebelum tidur kita perlu memaafkan semua orang dan pada sama bersangka baik kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong; Ketua Kampung Sungai Burung Kawasan 2 Mukim Jeram Batu, Pekan Nanas, Mohd Aqil Md Yusof dan Pengurus TEKUN Cawangan Daerah Pontian, Poyziah

Penerima bantuan, Rahmah Abas, 83, berkata, dia bersyukur di atas keprihatinan pihak berkenaan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Rahmah anak kelima dari tujuh beradik dan masih bujang itu berkata, dia bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain mengusahakan tanaman sayuran di halaman rumah.

“Kehadiran calon PRK itu amat terpuji kerana selain bertanya kabar, beliau mempunyai perwatakan mesra dengan penduduk,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Burung.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi TEKUN Malaysia, Najwah Halimah Ab Halim berkata, bantuan berupa keperluan harian bagi meringankan beban yang ditanggung penerima.

“Seramai 50 penerima membabitkan empat kampung iaitu Kampung Sungai Burung, Jeram Batu, Sungai Moleh dan Kampung Sungai Tempayan.

“Program ini juga bertemakan ‘Jejak Usahawan’ dalam membantu mereka memberi modal bidang niaga yang diceburi, ” katanya.

Najwah berkata, sejak ditubuhkan 20 tahun lalu, TEKUN mempunyai 173 cawangan di negara ini dan sudah membiayai sebanyak RM 250 juta kepada peminjamnya.

Menurutnya, 100 peratus peminjam terbabit membayar balik mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, peminjam terbabit sudah berjaya menjadi pengusaha pelbagai produk dan secara langsung terkeluar dari kepompong kemiskinan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:21pm
    d