mutakhir

Peringatan untuk penamaan calon Sabtu ini

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini mengingatkan pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh masa oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka untuk mengemukakan kertas penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah dari 9 hingga 10 pagi.

“Jika bakal calon sudah membayar deposit pilihan raya terlebih dulu, maka perlu diingatkan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, calon yang bertanding mewakili parti politik diingatkan mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

Menurutnya, SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

SPR katanya, menyeru kepada semua calon dan parti politik terbabit sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] mengenai larangan pada Hari Penamaan Calon.

“Antara lainnya, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan ia satu kesalahan.

“Orang ramai serta penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

“Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, polis akan mengambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, parti politik yang terbabit adalah bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan dalam suasana selesa dan aman.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 5:57pm
    d