mutakhir

Saya belum puas berbakti - Calon BN

Oleh Togi Marzuki

“SAYA belum puas berbakti kepada rakyat khususnya di Parlimen Tanjung Piai, untuk itu saya akan berikan yang terbaik demi masyarakat berbilang kaum,” kata Datuk Seri Wee Jeck Seng, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Menurutnya, dia yakin dapat memenangi semula kerusi itu berdasarkan pengalaman luasnya selepas menyandang kerusi itu sejak 2008 sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.

Katanya, dia berazam melaksanakan tugas sebaik mungkin dalam usaha memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa.

“Saya berharap mendapat sokongan penduduk untuk memenangi semula kerusi Parlimen Tanjung Piai,” katanya.

Pengumuman calon BN itu dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad di Pejabat UMNO Bahagian Pontian, malam tadi.

Sebagai anak tempatan yang sudah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama 10 tahun, beliau mempunyai kelebihan memahami keperluan masyarakat tempatan.

Selain itu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari 2008 hingga 2010.

Sementara itu, Hasni berkata, pemilihan Wee dibuat selepas mengambil kira semua faktor hasil mesyuarat terakhir kepemimpinan tertinggi BN.

Beliau berkata, pada masa sama, ia mengekalkan kerusi kepada MCA, sekali gus membuktikan Muafakat Nasional BN bersifat inklusif, berjiwa besar dan pragmatik.

“Ia bukan saja mengetengahkan kepentingan Melayu dan Islam, malah semua masyarakat dalam negara.

“Berdasar sumbangan, dedikasi, rekod baik serta pengalaman yang ada, BN yakin calon ini (Jeck Seng) menepati ciri dan wibawa diperlukan untuk mewakili masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 12:47am
    d