mutakhir

PRK Tanjung Piai: 412 pegawai, anggota polis berkawal esok

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 412 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, esok.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pasukan itu bagi menjamin kelancaran proses penamaan yang dijangka dihadiri 10,000 orang.

“Pegawai dan anggota akan ditempatkan di sekitar pusat penamaan dan sudah melakukan persediaan.

“Setakat ini, maklumat yang diterima, ada empat parti yang akan bertanding, maka kita jangka kehadiran penyokong kira-kira 10,000 orang.

“Kita berharap penyokong yang hadir mengikut nasihat polis dan berada di zon ditetapkan kerana tidak mahu berlaku insiden yang tidak diingini,” katanya pada sidang media berkaitan Hari Penamaan Calon PRK Parlimen Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail dan Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

Mohd Kamarudin berkata, tiga laluan masuk ke pusat itu ditutup bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, dan laluan itu adalah Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan.

Katanya, jalan alternatif disediakan di Jalan Bakek, Jalan Al-Sagoff dan Jalan Parit Mesjid.

Dalam pada itu, penempatan penyokong mengikut zon iaitu Zon A bagi Pakatan Harapan (PH) di Laman Diraja Pontian; Zon B untuk Barisan Nasional (BN) bersebelahan tempat letak kereta Keretapi Tanah Melayu (KTM), manakala parti lain termasuk penyokong calon Bebas ditempatkan di hadapan dewan.

“Jika esok terdapat lebih empat calon yang bertanding, semua penyokong calon selain PH dan BN akan ditempatkan di kawasan hadapan dewan,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya juga akan sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas orang ramai yang hadir bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa seperti senjata tajam.

“Saya percaya tiada insiden tidak diingini berlaku kerana setakat ini kita tidak menerima sebarang maklumat tentang apa-apa ancaman mana-mana pihak yang boleh menggugat keselamatan dan keamanan esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 3:19pm
    d