mutakhir

PRK Tanjung Piai: Sasar 70 peratus keluar mengundi

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus keluar mengundi pada hari membuang undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai di Pontian, 16 November ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, sasaran itu mengambil kira landskap politik ketika ini.

“Anggaran ini (70 peratus) realistik kerana hinggakan calon pun enam orang dan nampak pertarungan sengit.

“Saya rasa parti politik bertanding jalankan usaha dengan kuat untuk memastikan penyokong mereka keluar mengundi,” katanya pada sidang media di Dewan Jubli Intan di Pontian, sebentar tadi.

Azhar Azizan berkata, SPR mempunyai perancangan jika berlaku hujan atau banjir ketika pilihan raya berlangsung.

“SPR sudah libat urus dengan pihak kawalan bencana dan beberapa pelan dirancang sekiranya hujan atau banjir.

“Malah pusat banjir akan berkomunikasi dengan SPR dari masa ke semasa untuk memantau keadaan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi keselamatan sudah dirancang sebelum ini.

“Kalau banjir berlaku, kita sudah bersedia dengan pam serta lori untuk membawa pengundi di pusat mengundi.

“Bot juga disediakan dan aspek keselamatan diatur untuk memantau,” katanya.

Menurutnya, pihaknya melakukan penambahbaikan termasuk memanjangkan waktu mengundi daripada 8 pagi hingga 5 petang kepada jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Selain itu, katanya, warga emas berusia 60 tahun ke atas diletakkan pada saluran satu dan dua, manakala 981 orang kurang upaya (OKU) dikenal pasti di saluran satu.

“Ada 26 saluran baharu menjadikan 127 saluran mengundi berbanding 101 saluran sebelum ini.

“SPR melantik 91 orang pemerhati pilihan raya daripada 13 organisasi membabitkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan individu berkelayakan untuk memantau perjalanan proses pilihan raya.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah membuka bilik gerakan 24 jam di Kompleks SPRM Johor di Tampoi,” katanya.

Menurutnya, selain itu pegawai SPRM akan membuat pemantauan di lapangan.

Katanya, empat pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pengumuman keputusan pilihan raya, katanya, akan diumumkan sebelum 10 malam, 16 November ini.

“SPR akan menyiarkan proses pengiraan undi secara ‘live streaming’ melalui Facebook (FB) dengan mengambil kira kesesuaian di satu saluran di pusat mengundi terpilih.

“Usaha ini sebagai satu pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi ketika pilihan raya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 1:00pm
    d