mutakhir

Lorong khas untuk pengundi berkerja di Singapura

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Togi Marzuki

JABATAN Imigresen Malaysia akan menyediakan laluan khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Bangunan Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, bagi pengundi yang bekerja di Singapura.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu bagi membolehkan warga negara pulang mengundi pada 16 November ini.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan jabatan berkenaan mengenai laluan khas yang terletak di Johor Bahru dan Gelang Patah.

“Laluan itu bertujuan bagi memastikan pengundi yang bekerja di Singapura sempat pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Jabatan Imigresen akan sediakan laluan khas untuk mempercepatkan urusan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan di Pontian, hari ini.

Katanya, pengundi hanya perlu memaklumkan mereka penduduk Tanjung Piai.

“Mereka (pengundi) hanya perlu memaklumkan mereka adalah penduduk (pengundi) di Tanjung Piai dan akan dibenarkan menggunakan laluan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, laluan berkenaan dijangka dibuka 12 tengah malam 15 November ini sehingga 5 petang keesokan harinya.

Ditanya mengenai dakwaan terdapat tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) didera, Muhyiddin menafikan perkara itu.

“Saya sudah semak dengan Ketua Polis Negara dan dapati dakwaan itu tidak benar.

“Malah, mereka dibawa keluar untuk berjumpa hakim dan peguam, tapi tidak membuat aduan berkaitan perkara itu,” katanya.

Menurutnya, dia perlu melihat dakwaan itu, selain akan pandang serius mengenainya.

“Saya tak boleh terima bulat-bulat dakwaan ini, tetapi kita pandang serius dan akan melakukan siasatan.

“Tahanan juga ada hak untuk membuat laporan jika rasa dilayan oleh pihak berkuasa tidak selari dengan undang-undang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • i.

    Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 1:45pm
    d