mutakhir

Usah leka

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Togi Marzuki

JENTERA Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta tidak bersikap sambil lewa dalam membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau mahu jentera parti membantu memenangkan Karmaine Sardini dari BERSATU.

“Kita (PKR) memang nakkan (mahukan) semua (jentera) siap siaga kerana kita tahu setiap pilihan raya itu adalah satu ujian.

“Apapun kita buat sedaya upaya untuk memenangkan calon PH, Haji Karmaine Sardini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena kunjungan mesra ke Pusat Keadilan Rakyat Cabang Tanjung Piai di Pontian, hari ini.

Terdahulu Wan Azizah turut merasmikan Pusat PKR Cabang Tanjung Piai.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Karmaine.

Dr Wan Azizah berkata, kehadiran beliau ke program itu diiringi calon PH bagi PRK Tanjung Piai sebagai komitmen PKR memenangkan calon berkenaan.

Katanya, beliau sangat mengharapkan kemenangan calon PH selain merayu pengundi membuat pilihan tepat.

“Kita (PH) mahu teruskan agenda kita (pembangunan) dan berharap peralihan itu lebih baik daripada yang lama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 9:22pm
    d