mutakhir

PRK Tanjung Piai: 'Sentuhan peribadi' paling penting

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“Pertandingan ini ibarat ‘merah-biru’ (calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional),” kata Rahim Hitam, 52, yang juga jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ditemui di Pasar Pagi, Pekan Nanas di Pontian, hari ini.

Dia yang juga ahli PKR Ranting Shah Alam, Selangor, memberi reaksi itu ketika membantu calon PH, Karmaine Sardini, 66, meraih sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 16 November ini.

Katanya, dia sudah berkampung di Tanjung Piai sejak tiga minggu lalu bagi membantu jentera parti dalam pilihan raya berkenaan.

“Saya bersama rombongan parti tiba di negeri ini menaiki bas sejak tiga minggu lalu dan akan kekal di sini, sehingga proses pengundian pada 16 November ini.

“Paling penting misi saya membantu Pusat Keadilan Rakyat Cabang Tanjung Piai dalam memenangkan calon PH,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sudah sembilan kali menyertai kempen bagi membantu memenangkan calon PH di seluruh negara.

“Antaranya PRK Cameron Highlands, Rantau, Semenyih, DUN Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong.

“Sepanjang penyertaan, hampir 80 peratus kemenangan memihak kepada PH,” katanya yang berasal dari Shah Alam.

Menurutnya, formula kemenangan tidak lain adalah mendekati rakyat, mendengar masalah dan bertemu pelbagai lapisan masyarakat di setiap kawasan.

“Paling penting ‘sentuhan peribadi’ dengan pengundi dan berjuang hingga ke akhir (pengundian),” katanya yang memakai baju PH.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 2:33pm
    d