mutakhir

'Dulu kerajaan, kini pembangkang...'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“BUKAN mudah untuk saya menghadapi pilihan raya kali ini. Dulu saya kerajaan, kini saya pembangkang,” kata calon Barisan Nasional (BN) Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng di Pekan Nanas, Pontian, hari ini.

Menurutnya, ‘status’ kerajaan yang bertukar tangan menjadi faktor dirinya perlu bekerja keras dan bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan pada PRK kali ini.

“Memang bagi saya pilihan raya ini satu cabaran dan ia cukup berlainan berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Bahkan dari segi peruntukan, Menteri dan Timbalan Menteri sudah datang ke Tanjung Piai sejak bulan lalu dan menebar banyak dana projek,” katanya pada sidang media di Pekan Nanas.

Terdahulu beliau melawatan pusat urutan tradisional Cina bagi kutipan derma dana pendidikan TARUC di Taman Utama, Pekan Nanas.

Katanya, beliau tidak fikir masyarakat di Tanjung Piai termakan dengan sentimen perkauman yang cuba dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sepanjang kempen PRK kali ini.

“Di sini kita harmoni dan masyarakat di sini berbilang kaum. Melayu, Cina dan India semua keluarga saya.

“Kenapa perlu lakukan itu (sentimen perkauman). Kita perlu harmoni, kita rakyat Malaysia dan Bangsa Johor,” katanya.

Malah katanya, penduduk Tanjung Piai lebih mengetahui mana baik dan buruk selain bijak membuat pilihan dalam PRK kali ini.

“Saya rasa orang Tanjung Piai lebih tahu dan dapat menilai mana baik atau sebaliknya.

“Saya harap pengundi di Tanjung Piai masih sayangkan saya dan harap mereka undilah saya,” katanya.

Menurutnya, tempoh satu tahun setengah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih gagal menyelesaikan pelbagai isu setempat.

“Kita dapati rakyat di kawasan ini terutama nelayan, petani dan pekebun kecil, maka tentulah beberapa masalah dihadapi seperti sara hidup, harga barang tinggi.

“Selain itu harga minyak kelapa sawit merundum dan nelayan tidak diberi bantuan,” katanya berkongsi masalah penduduk di Tanjung Piai.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 5:47pm
    d