mutakhir

Sultan Kelantan ziarah 3 beradik istimewa

Oleh Siti Rohana Idris

SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V mencemar duli menziarah tiga beradik yang menghidap Cerebral Palsy (CP) di Kampung Kok Keli 1 di Tumpat ini hari ini.

Baginda tiba di kediaman keluarga tiga beradik berkenaan dan disambut bapa mereka, Mohd Zain Abdullah, 56, pada 5.20 petang dan meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar.

Selain bertanya khabar dan beramah mesra, baginda turut memberikan beberapa tips mengenai pengurusan penjagaan serta pemakanan untuk tiga anak Mohd Zain itu.

Dalam kunjungan itu, baginda turut menyampaikan sumbangan wang tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan sumbangan peribadinya kepada keluarga berkenaan.

Mohd Zain berkata, dia tidak menyangka akan dikunjungi oleh Sultan Muhammad V yang dianggapnya sungguh istimewa.

“Saya dihubungi wakil istana pada pagi semalam dan memberitahu Sultan Kelantan akan melawat tiga anak istimewa saya ini.

“Pada mulanya berasa seperti tidak percaya tapi selepas diyakinkan, saya sangat berbesar hati dalam masa yang sama gementar menerima kunjungan baginda hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bersama isteri, Puan Sri Tengku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Ketika ditanya mengenai liputan meluas yang diterima terhadap tiga anaknya iaitu Khairul Nisaa’, 25; Muhammad Amir, 18, dan Ain Husna, 17, itu, Mohd Zain berkata, rezeki tiga anak istimewa itu tidak pernah putus bermula sejak dari saat isterinya, Nooraini Ismail meninggal dunia.

“Saya sangat berterima kasih atas keprihatinan dan dermawan rakyat Malaysia yang sentiasa menyumbangkan bantuan kewangan serta wang ringgit setiap kali kisah ditularkan.

“Sehingga hari ini, bantuan sama ada dalam bentuk barangan atau kewangan masih disalurkan dan ada masanya saya berasa tidak layak untuk terus menerimanya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Mohd Zain terpaksa menggalas tugas menjaga dan membesarkan tiga anak orang kurang upaya (OKU) apabila isterinya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tumpat akibat kanser payu dara pada Disember 2017.

Kegigihan Mohd Zain menyara tiga anaknya itu mendapat perhatian ramai pihak yang simpati dengan nasib keluarga terbabit.

Berita berkaitan

'Tiga anak istimewa amanat arwah isteri'

'Saya jaga amanah ini hingga akhir hayat'

Terima kasih atas keprihatinan anda semua' [METROTV]

Permudahkanlah bapa ini menjaga anaknya, Amin....

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 7:11pm
d