mutakhir

Bertanding kerana hormati kehendak rakyat

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KAMI tak rasis dan keputusan bertanding kerana menghormati kehendak rakyat,” kata calon BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz.

Dr Badrulhisham berkata demikian menjelaskan isu peletakan calon BERJASA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, meskipun memeterai Piagam Muafakat Nasional.

Katanya, BERJASA tidak akan meletakkan calon PRK Tanjung Piai jika PAS dan UMNO meletakkan calon Melayu di kawasan itu.

“Keputusan itu (tidak bertanding) bagi memberi laluan demi Piagam Muafakat Nasional dengan harapan meletakkan calon Islam di sini.

“Persepsi ramai penduduk bahawa UMNO akan bertanding, cuma saat akhir Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MCA.

“Sedangkan kita sudah memberitahu dan mereka (PAS dan UMNO) letak calon MCA menyebabkan kami bertanding demi menghormati kehendak rakyat.

“Ini kerana mereka (rakyat setempat) mahu Parlimen Tanjung Piai diwakili Melayu Islam dan selama empat kali pilihan raya MCA bertanding,” katanya pada sidang media di Masjid Selangor, Pontian hari ini.

Katanya, parti itu berjanji dengan semangat dan prinsip dibawa akan dapat menyelesaikan masalah penyatuan orang Melayu selain tidak mengabaikan bangsa lain di bawah semangat perlembagaan.

Katanya, BERJASA yang menyertai Gagasan Sejahtera sejak 2017 pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan untuk meletakkan calon Melayu di PRK Tanjung Piai tetapi tidak dihiraukan.

“PAS sendiri tidak pernah mengakui tempat ini kerusi BERJASA dan menganggap ia milik PAS sedangkan sebaliknya dan sikap ini kena berubah,” katanya.

Beliau berkata, Muafakat Nasional perlu membabitkan orang Melayu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan sebagainya demi agenda Melayu Islam.

“Ia juga menjadi prasyarat sebelum kita menyatakan mengenai perpaduan dan harmoni negara,” katanya.

Menurutnya, PAS dan UMNO juga perlu lebih terbuka dan bekerjasama dengan parti Melayu berbanding bukan Melayu.

“Kami bukan rasis dan tidak rasis, tetapi minta keutamaan dalam penyatuan orang Melayu dan ia cukup penting.

“Isunya, isu majoriti penduduk negara ini orang Islam dan identiti negara ini seperti perlembagaan yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Terdahulu, beliau melawat Tanah Perkuburan Islam Majid Kampung Selangor di Pekan Nanas di sini, yang memerlukan dana RM16,000 bagi kemudahan infrastruktur dan menagih sumbangan ramai.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 8:01pm
    d