mutakhir

Ustaz Abdul Somad mendoakan kesembuhan UAI

Oleh Norizuan Shamsuddin

KECEDERAAN yang dialami penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali dengan gelaran UAI selepas terbabit dalam kemalangan basikal turut mendapat perhatian penceramah luar negara terutamanya Indonesia.

Penceramah terkenal Indonesia, Abdul Somad Batubara atau dikenali Ustaz Abdul Somad turut mendoakan kesembuhan kepada UAI.

Satu video memaparkan Ustaz Abdul Somad merakamkan ucapan dan bacaan doa untuk UAI turut tular di media sosial.

Video berdurasi 53 saat itu memaparkan Ustaz Abdul Somad bersama seorang Doktor Aqidah Filsafat dari Universiti Islam Al-Azhar, Tengku Amri Fatmi Anziz atau dikenali Ustaz Amri mendoakan supaya UAI diberikan kesembuhan.

Malah, video yang turut dimuat naik menerusi akaun Facebook (FB) Ustaz Azhar Idrus (Original) itu turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut mendoakan supaya UAI sembuh dan kembali menyampaikan ceramah.

Video terbabit turut mendapat 11,000 tontonan dan 2,100 tanda suka serta 238 perkongsian selepas dua jam dimuat naik.

Isnin lalu, portal Harian Metro melaporkan UAI patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu kira-kira 6.30 petang.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika UAI menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

UAI selesai menjalani pembedahan tangan kirinya kira-kira 10 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Berita berkaitan

UAI selamat jalani pembedahan tangan

Doakan kesembuhan UAI

UAI patah tangan, hidung

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 7:17pm
d