mutakhir

Pemandu lori rempuh polis direman

Oleh Ibrahim Isa

PEMANDU lori yang merempuh sepasukan anggota polis selepas mereka selesai menjalankan tugasan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Canggung, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang, hingga dua daripada anggota berkenaan maut, pagi semalam, ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu ditahan polis 8.40 pagi semalam selepas selesai mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat cedera.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, suspek lelaki itu ditahan reman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah, namun pihaknya sudah menghantar contoh darah kepada Jabatan Kimia untuk ujian lanjut.

“Kami masih menjalankan siasatan dan contoh darah yang dihantar ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan keputusan lengkap. Kami menjalankan siasatan secara terperinci dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, seramai enam anggota polis sedang memuatkan kelengkapan operasi sekatan jalan raya (SJR) ke atas Land Rover untuk kembali ke pangkalan.

Kesemua enam anggota itu baru selesai penugasan SJR cegah jenayah sebelum tiba-tiba dirempuh lori dari datang arah Kota Masai ke Taman Pasir Putih.

Siasatan awal mendapati pemandu lori itu hilang kawalan, lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh lima daripada enam anggota terbabit, dengan Land Rover yang berada di tepi jalan turut dirempuh.

Akibat kemalangan itu, dua anggota polis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa adalah Lans Koperal Saifullah Mohamad, 32, yang bertugas di Balai Polis (BP) Pasir Gudang serta Lans Koperal Mohamad Johari Rosli, 32, yang bertugas di BP Taman Scientex, Seri Alam.

Tiga anggota lain dari BP Pasir Gudang , BP Scientex dan BP Pasir Puteh mengalami kecederaan dan kini dirawat di HSI.

Berita berkaitan

'Saya reda dengan pemergian arwah'

Semoga rohnya dicucuri rahmat

'Road-block' ikut SOP

Polis baru selesai 'road-block' sebelum dirempuh

Dua polis maut dirempuh lori

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 5:34pm
d