mutakhir

Kotak sahaja basah, bukan radioaktif bocor [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan gudang kargo Pos Aviation Sdn Bhd berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selamat dan tiada kebocoran bahan radioaktif.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, ia selepas pemeriksaan dilakukan pasukannya bersama Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) terhadap kotak yang basah di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, kotak berkenaan mengandungi barangan perubatan seberat 20 kilogram (kg) termasuk cecair Iridium Metalsolid 192 yang disahkan bahan radioaktif serta amat berbahaya.

“Selepas pemeriksaan bersama AELB, kita dapati tiada kebocoran. Kakitangan di Pos Aviation Sdn Bhd mendapati basahan di kotak. Saya nampak kakitangan ini mempunyai kesedaran yang tinggi.

“Bagaimanapun, apabila kita periksa ternyata tiada kebocoran dan kini dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Sepang, hari ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan lokasi itu selamat dan pemeriksaan selesai pada 3.30 petang.

“Lebih 40 kakitangan dibenarkan memasuki bangunan kecuali kawasan berkaitan sahaja yang kita kawal. Kita minta syarikat berkaitan untuk mengambil barang berkenaan. Selain itu, kotak berkenaan juga sudah dibungkus supaya tidak berlaku kebocoran,” katanya.

Ditanya mengenai basah pada kotak itu, Hafisham berkata, pihaknya tidak pasti mengenai punca berkenaan namun mengesahkan ia bukan daripada bahan radioaktif.

“Kita tidak tahu yang basah itu apa dan apabila diperiksa sekeliling, ternyata tiada kebocoran. Basahan itu bukan daripada bahan berkenaan.

“Tidak pasti ia air hujan sebab kawasan berkenaan memang bertutup dan hendak masuk ke situ pun susah kerana ia berkaitan bahan radioaktif, jadi tempat simpanan itu memang dikawal rapi.

“Kalau ada tumpahan hujan, ia mustahil. Mungkin dari awal ia masuk (diletakkan dalam gudang) dah basah, itu tak pasti. Hanya satu kotak yang basah,” katanya.

Terdahulu, JBPM Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, menerima laporan berlaku kebocoran radioaktif di lokasi itu dipercayai membabitkan bahan diletakkan di dalam kotak.

Menurut kenyataan itu, panggilan kecemasan diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA pada 10.42 pagi, seterusnya jentera dari BBP KLIA dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Shah Alam ke lokasi.

Berita berkaitan

Radioaktif bocor di pos kargo KLIA

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 6:16pm
d