mutakhir

'Mereka rindukan khidmat saya' [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“MEREKA (pengundi) rindukan khidmat saya,” kata calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng berkongsi pengalaman sepanjang fasa pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Wee berkata, hubungan mesra menyebabkan khidmat dirinya sebagai ‘orang lama’ sentiasa ‘ditagih’ masyarakat.

“Selama ini (ketika berstatus Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal), setiap tiga bulan, saya turun padang dari pusat ke pusat untuk bertemu saudara saya (pengundi).

“Apabila hilang kerusi ini, saya tidak ada dana dan tidak mampu walaupun setiap hari menerima panggilan daripada masyarakat susah untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di Padang Awam Pontian di Pontian, hari ini.

Menurutnya, dia mahu mencari jalan membantu masyarakat.

“Saya anggap kita sebagai saudara besar dan perlu ambil tahu nasib orang kita tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Menurutnya, dia akan terus berkempen untuk menemui seberapa ramai pengundi dan bertungkus-lumus hingga ke hari terakhir berkempen.

“Saya dengan bantuan komponen BN lain sudah turun padang dari pekan hingga ke kampung dengan memperkenalkan saya calon nombor dua (2).

“Dengan bantuan rakan-rakan BN, usaha memperhebat bertemu pengundi dilaksanakan terus ke fasa kedua kempen dan kini sudah menemui separuh pengundi di 27 pusat daerah mengundi (PDM),” katanya.

Terdahulu, Jeck Seng memulakan kempen hari ke tujuh pagi ini dengan bertemu pengundi di Padang Awam Pontian, pagi tadi.

Dia yang berbaju ungu meluangkan masa bertemu pengundi termasuk warga emas yang bersenam di kawasan awam itu.

Kehadirannya disambut baik warga bandar Pontian, apatah lagi ramai yang pernah mendapat khidmat bekas Ahli Parlimen itu sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 9:48am
    d