mutakhir

'Ulat loyar buruk' kena penjara

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PADAH menjadi ‘ulat mahkamah’, seorang lelaki dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Syaiful Bahri Md Zahari, 40, selepas mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memujuk untuk menawarkan atau berkeliaran dengan tujuan menawarkan perkhidmatan untuk keuntungan atau hadiah kepada sesiapa pun yang mempunyai urusan di Kaunter Jamin, Mahkamah Jalan Duta jam 11.15 pagi, 5 November lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15A Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Syaiful Bahri merayu mahkamah memberi hukuman ringan berbentuk denda atas alasan mempunyai tanggungan selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Hakimi memohon hukuman penjara kerana kesalahan ini membabitkan kepentingan awam.

“Perkara ini sudah diketahui umum dan disiarkan di akhbar, namun kegiatan ini masih berleluasa.

“Hukuman denda tidak memadai dan hukuman penjara adalah terbaik sebagai pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan ulat mahkamah menguasai Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selain berkongsi bayaran guaman hingga 50 peratus.

Itu kegiatan haram atau menyalahi undang-undang dikesan semakin berleluasa di bangunan mahkamah dipercayai berlaku sejak setahun lalu.

Mereka mensasarkan orang awam yang kurang pengetahuan mengenai kes atau prosedur mahkamah dengan menjadi perantara antara peguam dan mahkamah.

Berita berkaitan

Ulat ‘loyar buruk’

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 3:40pm
d