mutakhir

Polis terima 24 laporan di Tanjung Piai

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menerima 24 laporan sepanjang lapan hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah itu, hanya tiga kertas siasatan sudah dibuka.

“Setakat ini, kami terima 24 laporan polis dan daripada jumlah itu, tiga kes kita sudah buka kertas siasatan.

“Satu daripadanya berkaitan kejadian ‘billboard’ parti GERAKAN yang dipasang di Jalan Kukup, Pontian dan bendera parti itu dicabut di Kampung Kebun Baru Permas.

“Kita juga membuka kertas siasatan terhadap kes membabitkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Salahuddin Ayub) yang berunsur hasutan.

“Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 4a(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954,” katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan bagi November 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, satu kes kini dirujuk ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kes calon Barisan Nasional (BN) dan satu lagi kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita rujuk kes kenyataan Ahmad Zahid berkaitan isu basikal lajak iaitu tentang pertuduhan di mahkamah kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini sepanjang kempen PRK Parlimen Tanjung Piai berlangsung.

“Masuk minggu kedua kempen, saya boleh katakan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Pontian terkawal.

“Kita juga tiada menerima laporan kes berunsur perkauman atau pergaduhan semasa kempen,” katanya.

Melihat kempen yang semakin hari semakin agresif, Mohd Kamarudin berharap calon yang bertanding serta penyokong berkempen mengikut peraturan ditetapkan.

“Saya harap kempen yang menggunakan kenderaan atau ceramah-ceramah, mohon permit polis terlebih dahulu supaya kita dapat tempatkan petugas serta membuat kawalan keselamatan lalu lintas.

“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang menggunakan provokasi, terutamanya yang menggunakan kenderaan ini, mereka bergerak dari satu tempat ke satu tempat, jadi susah kita nak buat kawalan.

“Kebimbangan saya apabila parti bertembung kemudian dengan memakai pembesar suara, ada yang memulakan provokasi, kita tak mahu insiden buruk mengganggu proses pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, 280 pegawai dan anggota polis yang juga pengundi awal bagi PRK Parlimen Tanjung Piai itu.

Katanya, tiada laporan diterima membabitkan warga polis sendiri yang terbabit dengan kempen.

“Polis, kita profesional, kita tidak memihak mana-mana parti. Tugas kita adalah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dalam keadaan baik supaya proses demokrasi negara kita ini berjalan dengan licin dan teratur.

“Memang ada 280 pengundi di parlimen ini dalam kalangan polis, tetapi saya tahu mereka sudah matang dan tahu buat keputusan pilihan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 1:39pm
    d