mutakhir

Jentera PH mesra dan terbaik

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JENTERA Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan mesra dan terbaik bagi memastikan kemenangan calonnya, Karmaine Sardini, 66, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Pengarahnya Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ia sekali gus menafikan hubungan dingin antara parti komponen PH sehingga menjejaskan kempen diaturkan bersama.

Malah katanya, komitmen pemimpin parti komponen termasuk BERSATU, PKR, AMANAH dan DAP berterusan dalam membantu calon.

“Kehadiran pemimpin utama parti komponen PH yang silih berganti membantu kempen calon sejak hari pertama kempen bermula membuktikan hubungan erat antara empat parti berkenaan.

“Hubungan antara BERSATU bersama semua parti komponen termasuk DAP berada dalam keadaan mesra dan baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Kukup di Pontian hari ini.

Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Sahruddin yang juga Menteri Besar Johor berkata, hubungan baik turut dirasai apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama-sama berkempen untuk calon PH.

“Sebelum itu, pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang turut hadir pada hari penamaan calon dan dalam beberapa siri kempen.

“Apa yang penting, kita fokus untuk menang dan tidak melayan provokasi mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu media hari ini melaporkan Guan Eng mengakui wujudnya sedikit rasa tidak ‘gembira’ dalam kalangan ahli parti itu untuk berkempen pada PRK Tanjung Piai.

Kenyataan itu berikutan video Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika berkempen di Tanjung Piai minggu lalu yang didakwa mengguris hati ahli DAP.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan dakwaan pemberian kad sim kepada penduduk dalam siri kempen PH di PRK Parlimen Tanjung Piai kelmarin.

“Saya tidak maklum mengenai itu, jadi saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 9:11pm
    d