mutakhir

Harap calon yang menang 'walk the talk'

Oleh BERNAMA

PENDUDUK dan pengundi Parlimen Tanjung Piai meletakkan harapan yang tinggi kepada bakal wakil rakyat mereka supaya mengotakan janji yang ‘ditaburkan’ ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen tersebut.

Pengundi daripada golongan warga emas mahupun belia, rata-ratanya berharap agar PRK itu bukan sekadar tempat menabur janji untuk meraih undi sahaja, tetapi menjadi platform untuk bakal Ahli Parlimen mendapat respon apa yang diperlukan penduduk setempat terutama dalam aspek pembangunan dan ekonomi.

Ketika ditemui Bernama, peniaga restoran berhampiran Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Muhamad Huszaidi Hussin, 44, berharap supaya bakal Ahli Parlimen itu menunaikan janji mereka, tidak kira siapapun calon yang menguasai kerusi itu kelak.

“Tidak kiralah daripada parti mana sekalipun calon yang menang nanti, kerajaan atau pembangkang atau bebas, saya cuma harap bakal wakil rakyat di Tanjung Piai tidak mungkir janji mereka.

“Kalau tak tunai janji, itu yang buat kami (pengundi) kesal dan marah. Bantu kami (penduduk) semua daripada pelbagai aspek seperti pembangunan, pendapatan, ekonomi, peluang pekerjaan, dan lain-lain,” katanya yang akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kukup, di Kukup pada 16 November ini.

Bagi Cheng Wee Sing, 58, beliau mahukan wakil rakyat mengamalkan sikap ‘walk the talk’ dalam menunaikan janji untuk memastikan hak setiap penduduk di Tanjung Piai terbela, terutamanya golongan warga emas.

“Kita sudah tua, badan pun semakin lemah, jadi kita harap agar janji nak beri kemudahan kepada golongan warga emas ditunaikan,” katanya yang menetap di sekitar Permas, di Kukup sejak tahun 60-an.

Penuntut institusi pendidikan tinggi awam, Ahmad Fazrin Othman, 23, berharap agar pihak yang menang PRK itu mengotakan perkara utama dalam perancangan setiap calon bertanding iaitu menambah peluang pekerjaan di kawasan Parlimen itu.

“Saya lihat memang agak sukar untuk penduduk terutamanya golongan anak muda di sini untuk dapatkan pekerjaan. Jadi, saya harap bakal Ahli Parlimen akan ambil serius perkara ini dan tunaikan janji supaya pengundi tidak menyesal memilih,” katanya yang tinggal di sekitar kawasan Pekan Nanas.

Selain itu, Sofea Basok, 29, pula berharap program membabitkan golongan wanita diperbanyakkan supaya lebih ramai wanita di kawasan Parlimen tersebut dapat menceburi bidang keusahawanan sama ada industri kecil atau sederhana.

“Apabila banyak program atau kelas seperti kelas kemahiran jahitan, mungkin ramai wanita akan menceburi bidang perniagaan, sekali gus kita (golongan wanita) menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada suami,” kata pekerja di kedai makanan di Sungai Rambah itu.

Seorang peniaga gerai makan, Jamiah Jaman, 77, menyeru agar bakal wakil rakyat Tanjung Piai memberikan bantuan tambahan kepada golongan wanita yang kurang bernasib baik dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Nenek kalau boleh nak senanglah, apa yang orang ada kita pun nak ada kalau boleh. Mungkin beri lagi bantuan ke macam bantuan kewangan atau barang keperluan harian,” katanya yang tinggal bersama seorang anak lelaki OKU berdekatan Kampung Rimba Terjun.

PRK Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan orang pengundi tidak hadir kerana berada luar negara.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gerakan dan Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

– BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 9:17am
    d