mutakhir

'Kawal emosi'

Oleh BERNAMA

PARTI dan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diminta menjaga emosi penyokong masing-masing ketika tempoh kempen semakin menghampiri penghujung menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, ini selepas mengambil kira keadaan kempen yang semakin hangat dan rancak dijalankan semua parti serta calon yang boleh menyebabkan berlakunya provokasi.

“Jadi kita harap parti terbabit dapat mengawal emosi agar tempoh berkempen ini berjalan lancar sehinggalah 16 November ini iaitu ketika kita menentukan siapakah yang akan menang untuk PRK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal membabitkan anggota dan pegawai polis di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di Pontian hari ini.

Mustafa berkata, sehingga semalam, kempen secara keseluruhannya masih berjalan lancar walaupun terdapat insiden terpencil dan berharap keadaan itu berterusan.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRK itu, calon PH Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 11:09am
    d