mutakhir

31 laporan polis, 3 kes ke SPRM

Oleh Mohd Sabran Md Sani

ISU kad SIM pra-bayar secara percuma dan wang sagu hati RM1,000 kepada nelayan antara tiga kes dirujuk terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Prof Dr Azmi Sharom berkata, kedua-dua kes itu antara laporan dibuat membabitkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Setakat ini 31 laporan polis dibuat sepanjang kempen bermula hingga hari ini dan tiga laporan dibuat kepada SPRM.

“Ia membabitkan kesalahan pilihan raya dan tuduhan rasuah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Menurutnya, dua laporan dirujuk kepada SPRM adalah kes kad sim pra bayar dan satu membabitkan pemberian wang RM1,000 kepada nelayan.

“Ini adalah dua laporan dibuat terus pengadu kepada SPRM,” katanya.

Beliau berkata, SPR tidak menerima laporan berhubung kehadiran menteri di Tanjung Piai bagi mengumumkan bantuan.

“Pada kami tidak ada (aduan). Jika seseorang berpendapat bahawa sesuatu itu tidak betul, seharusnya membuat laporan pada polis atau SPRM.

“Secara realiti, kita mempunyai penguat kuasa sangat kecil dan tindakan hanya membabitkan langkah melaksanakan arahan termasuk membabitkan kesalahan tertentu seperti turunkan gegantung manakala rasuah adalah SPRM,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) menangani 90 kesalahan kebanyakannya membabitkan gegantung dan meletak gegantung di tempat salah.

“Ini adalah aktiviti boleh ditangani PPKPR,” katanya.

Menurutnya, SPR berpuas hati proses undi awal membabitkan 280 anggota polis di IPD Pontian pagi ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 12:08pm
    d