mutakhir

Ziarah pusara abah, ibu setiap hari

Oleh Zaid Salim

“SETIAP hari saya dan adik akan mengunjungi pusara abah dan ibu. Ia membuatkan kami rasa mereka sentiasa bersama kami,” kata pelajar Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu, Nur Syazwany Mohd Hanafi.

Nur Syazwany, 17, dan adiknya, Muhammad Akmal, 12, adalah anak kepada Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafei, 39, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta Perodua Myvi di Jemaluang, Mersing, Johor pada 13 September lalu.

Dalam kejadian 8 malam itu, Mohd Hanafi dan Salimah dalam perjalanan bersama 19 motosikal berkuasa tinggi ke Johor Bharu untuk menyertai Desaru International Bike Week (DIBW) 2019.

Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Myvi dikatakan terbabas lalu memasuki laluan kanan sebelum merempuh beberapa motosikal termasuk salah satunya ditunggangi pasangan suami isteri itu.

Nur Syazwany berkata, dia dan adiknya akan menziarahi pusara ibu bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu setiap kali pulang dari sekolah.

“Hari ini genap 68 hari mereka pergi. Mereka pergi secara tiba-tiba dan tentunya ia memberi kesan kepada kami. Hanya dengan cara ini, kami rasa mereka ada bersama kami.

“Kami bersyukur kerana pusara mereka berhampiran rumah, jadi tiada alasan untuk ke sana. Selain menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah dan doa, kami akan menceritakan apa yang kami lakukan setiap hari selain meminta restu,” katanya.

Muhammad Akmal yang baharu menamatkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berkata, dia mengakui merindui arwah ibu bapanya.

“Mereka selalu datang dalam mimpi dan saya rasa macam mereka ada lagi. Hanya gambar mereka menjadi tempat saya melepaskan rasa rindu.

“Memang sedih, tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kepada kakak dan datuk, Mohd Shafei Muhamad, 72, serta nenek, Zaharani Mohd, 62, yang menjaga saya dengan kasih sayang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafei berkata, dua cucunya sudah dapat menerima hakikat ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.

“Mereka ini amanah dan saya akan jaga serta sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Berita berkaitan

'Buntu, hidup gelap tanpa ibu bapa'

'Janji dibawa ke mati'

'Suami isteri maut motosikal bertembung kereta'

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 11:44pm
d