mutakhir

Tetap bersemangat walau uzur, berkerusi roda

Oleh BERNAMA

WALAUPUN berkerusi roda dengan usia hampir 90 tahun, seorang pengundi warga emas, Aminah Kasbi tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawabnya keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Aminah, 89, berkata, beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi sejak menjadi pemilih berdaftar kerana itu tanggungjawab serta haknya sebagai rakyat di negara ini.

Aminah yang dibawa serta ditemani cucunya, Norhidayah Abdullah, 30, dari Taman Sri Pulai di Skudai, tiba di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang, Pontian sebelum pusat mengundi itu dibuka tepat 8 pagi.

“Nenek sanggup bangun 3 ke 4 pagi sebab bersemangat nak mengundi dan tak pernah lepas mengundi sebab ini adalah hak nenek dan semua orang sebagai rakyat,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi pada 8.10 pagi.

Sementara itu, pesara dan pengundi berusia 67 tahun, Mohd Taib Ahmad berkata, beliau selalu keluar mengundi setiap kali pilihan raya diadakan kerana itu adalah ‘tempat’ bagi dirinya untuk mengundi wakil rakyat pilihannya.

“Walaupun keadaan saya sedikit uzur sebab sakit mata (katarak) tetapi saya tetap bersemangat untuk pilih calon pilihan sebab saya nak orang yang saya pilih ini boleh bantu saya dan seluruh penduduk di Tanjung Piai,” katanya yang tinggal di kawasan Telok Kerang dan ditemani anak lelakinya.

Seramai 52,471 orang pengundi biasa layak mengundi hari ini dan sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka untuk tujuan pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai.

Hari pengundian PRK itu dibuka pada 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Wendy Subramaniam daripada Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 10:19am
    d