mutakhir

13 peratus sudah mengundi

Oleh Mohd Sabran Md Sani.

SEBANYAK 13 peratus daripada keseluruhan 52,471 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pontian, sudah mengundi sehingga jam 9 pagi ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, jumlah berkenaan dicatatkan dalam tempoh sejam sejak pusat pengundian dibuka 8 pagi ini.

“Perjalanan pilihan raya pada pagi ini amat lancar dan tidak ada insiden serius berlaku.

“Peratusan keluar mengundi pada jam 9 pagi selepas 30 minit pusat mengundi dibuka mencatatkan 13 peratus,” katanya ketika melawat Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, pagi ini.

Beliau berharap pengundi keluar mengundi waktu pagi selepas mengambil kira ramalan cuaca ribut petir pada waktu petang.

“Saya menggesa pengundi keluar mengundi pada waktu pagi dan sebelum tengah hari.

“Ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan ribut petir pada sebelah petang, namun berharap keadaan cuaca baik hari ini,” katanya.

Menurutnya, beliau optimis 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.

“Saya rasa penganalisis membuat kajian 65 hingga 70 peratus pengundi mengundi. Saya rasa 70 peratus ramalan pengundi akan turun mengundi hari ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 10:49am
    d