mutakhir

Tiada yang 'kempen' saat akhir

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TIADA aktiviti meraih undi mahupun berkempen membabitkan calon, penyokong dan petugas parti berhampiran lokasi pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, hari ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, terdapat aktiviti bersorak dilakukan pihak berkenaan di luar kawasan larangan iaitu 50 meter ditetapkan.

“Saya keluar tadi (tinjauan) tidak ada yang adakan aktiviti secara positif untuk berkempen, cuma mereka berada di luar, bersorak.

“Saya tidak nampak aktiviti secara aktif, memohon meraih undi di mana-mana pun tidak boleh,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Yunos Sulaiman Pontian, hari ini.

Azhar Azizan berkata, semua parti dan calon bertanding tidak dibenarkan meraih undi selepas kempen tamat pada 12 tengah malam.

“Saya menyeru kepada semua calon-calon, semua parti politik dan penyokong supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti untuk meraih undi hari ini.

“Kalau kibar bendera atau pakai baju parti kena luar 50 meter, tapi tidak boleh aktif meraih undi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan dan akan bertindak menghentikan sebarang tindakan luar kawalan yang boleh menjejaskan perjalanan pengundian.

Katanya, sehingga kini tiada laporan berhubung kewujudan barang parti, sebaliknya hanya membabitkan sorakan penyokong parti.

Beliau berkata, dinamik perlakuan pada hari pilihan raya menyukarkan pihaknya melaksanakan pengkhususan satu persatu.

“Apabila ada aktiviti di kawasan kabur seperti itu, kita akan cuba pantau. Kalau sampai raih undi (perlakuan aktif), kita akan hentikan, selain aduan boleh dibuat mengenainya (perlakuan raih undi),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 12:23pm
    d