mutakhir

Keputusan tidak lemahkan semangat PH

Oleh BERNAMA

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam tidak akan melemahkan semangat Pakatan Harapan (PH) untuk terus bekerja kuat dalam memberi khidmat terbaik buat rakyat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, pihaknya menerima keputusan pengundi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan terbuka dan penuh kesedaran.

“Keputusan ini menuntut kerajaan PH agar terus memperbaiki pemerintahan agar segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai oleh rakyat.

“Di samping itu, kami juga akan berusaha merapatkan saf kepemimpinan antara parti-parti dalam PH dan pada masa sama mempergiatkan lagi program-program penerangan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, DAP dan PH menerima keputusan pengundi Tanjung Piai yang bersuara bukan hanya bagi pihak mereka tetapi juga negara atas kekecewaan dan rasa tidak puas hati berikutan langkah pembaharuan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.

“Keputusan PRK Tanjung Piai yang mengejutkan ini memberikan desakan dan kepentingan mengkaji semula langkah dan pelaksanaan pembaharuan yang dijanjikan PH, khususnya yang terkandung dalam Buku Harapan, manifesto PRU14, yang mana Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji bagaimana kerajaan dapat melaksanakan semua janji dan manifesto,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad dan Lim masing-masing mengulas keputusan PRK Tanjung Piai yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK itu mengalahkan calon PH Karmaine Sardini.

Wee memenangi pertandingan enam penjuru PRK itu dengan majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi berbanding, Karmaine yang mendapat 10,380 undi; Wendy Subramaniam daripada Gerakan (1,707); Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) manakala, dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 11:10am
    d