mutakhir

Mangsa rogol diberi kaunseling

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

PELAJAR perempuan Tingkatan Dua yang menjadi mangsa kes rogol membabitkan tujuh pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Tawau diberikan kaunseling.

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin berkata, sesi kaunseling sebagai sebahagian rawatan pemulihan pelajar terbabit.

Beliau juga berkata, pelajar terbabit sudah menjalani pemeriksaan bagi membantu siasatan kes itu.

“Saya difahamkan, dia sudah mendapat pemeriksaan dan lepas itu kita akan hantar untuk menjalani proses kaunseling pula,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil tamat belajar Kelas Dewasa dan Peribumi (KEDAP) Sabah 2019, di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengenai sama ada pelajar perempuan itu akan dipindahkan ke sekolah lain atau tidak, Mistirine berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pengurusan sekolah pelajar terbabit kemudian.

Sementara itu katanya, ada antara suspek menghadiri kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.

Pelajar terbabit dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis pada Ahad lalu bagi membolehkan mereka menghadiri peperiksaan SPM.

Mistirine menambah, pengurusan sekolah terbabit sudah diberi peringatan supaya mengambil langkah meningkatkan keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah.

“Kejadian itu (kes rogol) mengejutkan kita dan ia sangat menyedihkan sebab berlaku dalam kawasan sekolah. Sepatutnya pelajar selamat di dalam kawasan sekolah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Jumaat lalu, mangsa yang juga sekolah sama, ditemui seorang guru dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian memaklumkan dia dirogol oleh dua daripada tujuh suspek.

Berita berkaitan

Jangan buat spekulasi - Polis

7 pelajar ditahan terbabit kes rogol

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 1:48pm
d