mutakhir

Majlis Presiden PH tak tahu - Dr Xavier

Oleh Siti Sofia Md Nasir

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak dimaklumkan mengenai pertemuan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR semalam.

Naib Presiden PKR Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, semua anggota Majlis Presiden PH sepatutnya memaklumkan jika mahu mengadakan sebarang pertemuan atau perbincangan dengan mana-mana pihak.

“Saya tidak diberitahu mengenai pertemuan itu tetapi sesiapa pun khususnya dari PH, kalau ada pertemuan kena maklumkan kepada Majlis Presiden.

“Saya harap perkara ini akan diikuti (dipatuhi),” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa, Pengurusan Keselamatan Empangan (ICDSME2019) di Georgetown hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan Mohamed Azmin bersama lima Ahli Parlimen PKR dan 22 Ahli Parlimen BN di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Putrajaya.

Kesemua mereka dikatakan tiba pada 7 malam dan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kira-kira 11 malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR Zuraida Kamarudin, Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Ahli Parlimen lain yang dipercayai hadir ialah Ahli Parlimen Jasin Datuk Seri Ahmad Hamzah, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jamaluddin Alias, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Noriani Ahmad.

Berita berkaitan

Wan Azizah sindir Azmin

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 3:01pm
d