mutakhir

Alhamdulillah, UAI semakin sembuh

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PENCERAMAH terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) semakin pulih apabila sudah mampu membawa kenderaan sendiri selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu pada 4 November lalu.

Bagaimanapun, UAI yang patah tangan kiri dalam kejadian itu masih dalam tempoh berehat tanpa menghadiri sebarang undangan kuliah.

Kenalan rapat UAI yang ingin dikenali sebagai Man berkata, kecederaan lain yang dialami UAI seperti di hidung dan mulut sudah pulih sepenuhnya.

“Kecederaan yang lain sudah baik cuma UAI ada menjalani pembedahan memasang implan untuk menyambung tulang lengan pada bahagian atas sikunya.

“Ia memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya dan dijangka kecederaan itu memerlukan masa lebih tiga bulan untuk pulih.

“Ramai tetamu yang datang melawat UAI di rumah termasuk ahli politik dan artis tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Man berkata, penggemar dan pengikut UAI perlu bersabar kerana tarikh tepat untuk penceramah bebas itu kembali berceramah dan menghadiri kuliah masih belum diputuskan.

“Insya-Allah, UAI akan segera menghadiri kuliah seperti biasa apabila beliau sihat sepenuhnya. Buat masa ini, beliau perlu rehat bagi memastikan kecederaannya cepat pulih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelawak terkenal tanah air, Zizan Razak sempat melawat UAI di kediaman penceramah itu empat hari lalu.

Lawatan artis serba boleh yang berasal dari Terengganu itu dikongsi di Instagram (IG) miliknya sebelum ia tular di Facebook.

Gambar mesra Zizan bersama UAI yang dimuat naik di IG itu mendapat sebanyak 215,743 tanda suka dan 988 komen daripada netizen.

Harian Metro sebelum ini melaporkan UAI patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Difahamkan, UAI menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya secara tiba-tiba basikalnya berhenti mengejut sekali gus menyebabkan dia terpelanting dalam kejadian pada 6.30 petang itu.

Berita berkaitan

UAI keluar wad hari ini

UAI belum mampu bercakap banyak

Doakan kesembuhan UAI

UAI selamat jalani pembedahan tangan

UAI patah tangan, hidung

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 4:00pm
d