mutakhir

Minta bantuan kerajaan negeri jika Datuk Red tidak respon

Oleh Mohd Hilmie Hussin

YAYASAN Pelindung dan Kebajikan Pengguna Masyarakat Malaysia (YPKPMM) akan meminta kerajaan Selangor campur tangan dalam isu jual beli tanah di Kampung Sungai Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, yang didakwa wujud unsur penipuan.

Timbalan Presiden YPKPMM Datuk Sheeda Romli berkata, satu memorandum akan diserahkan kepada Menteri Besar Amirudin Shari sekiranya Datuk Seri Adenan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red gagal memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari berkerja.

“Setakat ini, kita masih gagal menghubunginya mahupun syarikat ADN Properties. Cubaan kita untuk mendapatkan nombor pejabatnya di Sungai Buloh juga menemui kegagalan.

“Malah, pembeli yang menjadi mangsa keadaan juga tidak dihubungi Datuk Red mahupun syarikatnya, setakat ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, difahamkan pejabat urusan ADN turut ditutup.

Katanya, sekiranya kerajaan Selangor tidak dapat membantu, beliau akan membawa kes terbabit kepada pengetahuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

“Begitupun, saya yakin pihak kerajaan akan mampu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Usaha akhbar ini mendapatkan respon daripada Datuk Red juga menemui kegagalan apabila telefon bimbitnya dipercayai dimatikan malah semua nombor pejabatnya juga tidak dijawab.

Semalam sebahagian pembeli lot tanah fasa enam dan fasa lapan di Kampung Sungai Semungkis, Batu 14, Hulu Langat membuat laporan polis mengenai dakwaan ditipu Datuk Red, selepas tanah yang sepatutnya diserahkan kepada mereka sekitar 2016 hingga 2017, masih tidak direalisasikan biarpun pembayaran sudah dilunaskan.

Kira-kira 50 daripada 230 pembeli hadir pada sidang media yang dilakukan di tapak tanah lot yang dibeli mereka.

Pada 20 November lalu, akhbar ini memaparkan Datuk Red antara disaman kerana didakwa menipu dalam urusan pembelian tanah di Hulu Langat.

Saman itu difailkan dua individu yang mendakwa membeli enam plot tanah di Mukim Hulu Langat daripada ADN Properties.

Pemfailan saman itu dibuat Mohamad Syaimi Amri Marzuki dan Mohd Hisham Junid pada 13 November di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam mereka, Bhavanash Sharma dari Tetuan Bhavanash Sharma.

Berdasarkan writ dan penyata tuntutan, kedua-dua plaintif menuntut defendan memulangkan harga pembelian RM234,000, ganti rugi untuk kemungkinan kontrak dan pengkayaan tidak patut, ganti rugi penipuan dan ganti rugi kecuaian profesional terhadap firma guaman Sanisah Khairun & Co.

Berita berkaitan

Datuk Red antara disaman tipu pembelian tanah

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 3:52pm
d