mutakhir

Polis ambil keterangan pegawai JIM

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PEGAWAI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China dirakam percakapan oleh polis bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan dalam talian termasuk tukaran mata wang asing atau Forex.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pegawai terbabit dirakam percakapan mereka 25 November lalu bagi membantu polis mengenal pasti dakwaan kewujudan sindiket penipuan pelaburan itu.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor yang sudah memanggil pegawai terbabit untuk dirakam percakapan.

“Rakaman percakapan itu untuk mendapat maklumat berkaitan kewujudan penipuan pelaburan dalam talian itu.

“Malah sebelum ini polis juga pernah menyerbu premis terbabit sebanyak dua kali selepas menerima maklumat berkaitan penipuan itu namun tidak mempunyai bukti,” katanya kepada pemberita pada sidang media Pelupusan Barang Kes Perjudian di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Harian Metro 21 November lalu, melaporkan JIM menyerbu bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China yang juga anggota sindiket penipuan pelaburan dalam talian termasuk tukaran mata wang asing atau Forex.

Apa yang mengejutkan, sindiket terbabit yang dipercayai berpusat di China itu menyewa keseluruhan bangunan enam tingkat terbabit dengan kadar sewa RM360,000 sebulan.

Premis itu dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan dengan kawalan keselamatan ketat di setiap tingkat dan hanya mereka yang mempunyai kad akses saja boleh memasuki premis berkenaan.

Berita berkaitan

Mengapa Malaysia?

Bangunan penuh penipu [METROTV]

Beratus ahli sindiket penipuan dicekup [METROTV]

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 6:35pm
d