mutakhir

PKM: 8 laporan polis diterima di Selangor

Oleh Norzamira Che Noh

POLIS Selangor menerima lapan laporan berhubung perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, lapan laporan itu diterima pihaknya sehingga semalam dan sudah diserahkan kepada Bukit Aman.

“Kita sudah serahkan laporan itu ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan dan Bukit Aman akan memanggil individu terbabit sama ada penganjur atau mereka yang menghadiri perhimpunan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Neighbourhood Watch Polis Selangor siri 2/2019 di Glenmarie, Shah Alam hari ini.

Noor Azam berkata, Bukit Aman akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

“Tindakan diambil oleh Bukit Aman berikutan laporan membabitkan perhimpunan itu turut diterima Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di negeri lain,” katanya.

Ahad lalu, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 300 individu terdiri daripada bekas anggota PKM hadir dalam satu perhimpunan di Kajang.

Media pada 26 November lalu melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.

Berita berkaitan

'Saya tak tahu' - PM

Polis siasat himpunan bekas ahli PKM

Kesan siapa dalang - NGO

Hadir atas dasar peribadi - ADUN Sungai Pelek

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 4:12pm
d