mutakhir

Polis sedang siasat

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung penganjuran majlis Memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor yang berlangsung pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 53 laporan polis di seluruh negara diterima pihaknya berhubung isu berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Berdasarkan maklumat setakat ini, majlis itu dianjurkan Persatuan Persahabatan Abad Ke-21.

“Bagi gambar tujuh individu yang memakai pakaian ala komunis dan beberapa gambar lain yang tular di media sosial pula dipercayai dirakam pada Isnin lalu di Hotel Lee Garden di Hatyai, Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, polis memberi jaminan satu siasatan yang telus dan adil akan dijalankan seperti mana termaktub dalam undang-undang.

“Buat masa ini, kes masih disiasat dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Peguam Negara selepas siasatan selesai.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan wujudnya kesalahan mengikut undang-undang lain seperti Akta Pertubuhan 1966 dan sebagainya.

“Cadangan kepada pihak Jabatan Peguam Negara akan dibuat bergantung kepada hasil siasatan nanti,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Huzir meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung penganjuran majlis itu.

“Sebarang kenyataan atau artikel berkaitan dengan perkara ini tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di media sosial dan sebagainya kerana dikhuatiri akan menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.

“Diingatkan tindakan memuat naik itu boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang mana kita tidak teragak mengambil tindakan kepada mereka yang dikesan sengaja mensensasikan isu berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

Polis siasat himpunan bekas ahli PKM

Kesan siapa dalang - NGO

Saya pun risau - Muhyiddin

Hadir atas dasar peribadi - ADUN Sungai Pelek

400 termasuk bekas ahli PKM bertemu

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 9:37pm
d