mutakhir

Pecat siapa buat kecoh - Anwar

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ahli yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan di hadapan pintu masuk dewan persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Melaka hari ini dipecat.

Menurutnya, perbuatan biadap itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas dan turut memohon pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku kekecohan itu.

“Saya menerima laporan mengenai insiden kekecohan yang berlaku di Kongres AMK 2019.

“Ingin saya maklumkan perlakuan biadab ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.

“Justeru saya meminta Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan memecat pelaku yang bertanggungjawab. Saya juga mohon kerjasama polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi, kekecohan berlaku di pintu masuk dewan kongres AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mengakibatkan bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor, yang dipecat daripada jawatannya pada 24 November lalu turut tidak dibenarkan masuk.

Pertikaman lidah bermula 8.30 pagi itu turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham pada sidang media petang ini mendakwa kekecohan berpunca daripada tindakan sabotaj terancang sekumpulan pemuda berbaju hitam.

Susulan insiden itu, beliau yang juga setiausaha politik kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, lebih 500 perwakilan AMK sebulat suara bersetuju untuk tidak hadir dan meneruskan kongres pada sesi petang ini atas dasar keselamatan perwakilan serta pemerhati.

AMK juga katanya, akan membuat laporan polis berhubung isu berkenaan selain melaporkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menggesa dan menuntut pembatalan Kongres Nasional itu.

Berita berkaitan

Kecoh lagi...

Boleh pecat jika sabotaj

Baju Melayu punya pasal [METROTV]

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 6:33pm
d