mutakhir

Mayat dua beradik lemas ditemui [METROTV]

Oleh Mohd Rizal Abdullah

DUA beradik yang dilaporkan hilang di perairan Kuala Sala di Yan sejak Jumaat lalu ditemui lemas petang hari ini.

Mangsa, Goh Tong, 34, dan abangnya Ng Goh Xian, 43, ditemui terapung oleh nelayan pada 2.45 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui pada jarak 15 batu nautika dari lokasi terakhir bot mangsa dilihat.

Menurutnya, mayat dua beradik itu kemudiannya dibawa ke Hospital Yan untuk proses bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini yang memasuki hari keempat membabitkan pelbagai agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),

“Seramai 20 nelayan bersama tiga bot nelayan turut membantu SAR sebelum operasi ditamatkan pada 8.30 malam ini,” katanya.

Kedua-dua mangsa dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di perairan itu sejak Jumaat lalu.

Operasi SAR kemudiannya dilancarkan pada hari sama dengan kawasan pencarian meliputi 180 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Berita berkaitan

Dua beradik hilang di laut

Tak jemu tunggu abang, adik di jeti

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 9:03pm
d