mutakhir

Warga emas koma meninggal dunia

Oleh Hasbi Sidek

WARGA emas yang koma akibat komplikasi jantung dan buah pinggang ketika menunaikan umrah pada November lalu, Abd Aziz Yunus, 63, disahkan meninggal dunia di Jeddah pada 12.46 waktu tempatan, tengah malam tadi.

Anak sulung pesara tentera itu, Mohd Faizal Abd Aziz, 35, mengesahkan perkara itu dan bapanya juga bakal dikebumikan di Jeddah hari ini.

“Ibu dan dua adik berada di sana, namun saya masih menunggu perincian mengenai waktu jenazah akan dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di Seremban hari ini.

Dengan perkembangan itu, pihaknya minta orang ramai supaya tidak lagi menghulurkan sumbangan kewangan dalam usaha membawa bapanya pulang ke tanah air dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Abdullah.

“Kami mohon bantuan itu dihentikan serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan atau salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bagi sumbangan sebelum ini, kami akan sedekahkan kepada pihak Baitulmal.

“Bagaimanapun, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu. Kami menghargai jasa baik semua yang membantu dari segi kewangan atau menghebahkan perkara ini,” katanya.

Portal berita Harian Metro pada Rabu lalu melaporkan keluarga Mohd Faizal sedang mengumpulkan wang dan mengharapkan sumbangan rakyat negara ini bagi mencukupkan jumlah RM200,000 seperti diperlukan bagi membawa bapanya pulang ke Malaysia.

Allahyarham Abd Aziz bersama isterinya Rokiah Lehin, 59, yang menetap di FELDA Raja Alias 1, Jempol berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada 8 November lalu.

Bagaimanapun, Abd Aziz mengalami masalah kesihatan ketika di Makkah sebelum dimasukkan ke Hospital King Abdullah dan dibenarkan pulang ke Malaysia pada 18 November kerana keadaannya masih stabil.

Satu jam sebelum berlepas, warga emas itu secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan terpaksa dikejarkan ke hospital dipercayai akibat komplikasi jantung serta buah pinggang kerana penyakit diabetes.

Berita berkaitan

'Tolong kami bawa ayah pulang'

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 4:20pm
d