mutakhir

Pengasuh jaga atas kepercayaan keluarga

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KEMATIAN bayi perempuan lapan bulan selepas terjatuh dari katil dan termasuk ke dalam bakul sampah di rumah pengasuhnya di Taman Pasir Pinji, Ipoh, kelmarin tiada unsur penderaan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, siasatan pihaknya juga mendapati pengasuh terbabit juga tidak tertakluk di bawah syarat mendaftar dengan JKM.

Katanya, wanita berkenaan hanya menjaga bayi itu berdasarkan kepercayaan diberikan pihak keluarga.

“Rumah itu tidak dijadikan pusat jagaan, malah tiada kanak-kanak lain yang dihantar di situ dan ia lebih kepada kepercayaan keluarga bayi yang meminta pengasuh itu menjaga anak mereka.

“Kematian bayi itu juga diklasifikasikan pihak berkuasa sebagai lemas dan tidak membabitkan unsur penderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ruhaini berkata, kes berkenaan masih disiasat oleh polis dan JKM akan membantu mana-mana berkaitan sekiranya diperlukan.

Berita berkaitan

Bayi maut jatuh katil

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 8:00pm
d