mutakhir

Pengasuh bebas dengan jaminan polis

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PENGASUH bayi perempuan lapan bulan yang mati lemas selepas terjatuh dari katil dan termasuk ke dalam bakul sampah di Taman Pasir Pinji, Ipoh, Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pengasuh itu yang juga dua beranak berusia 45 dan 24 tahun dibenarkan jaminan hari ini selepas semua keterangan direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Jaminan diberi juga berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau penderaan terhadap bayi berkenaan.

“Bayi berkenaan meninggal dunia akibat lemas, terjatuh dalam tong sampah untuk tempoh agak lama dan dipercayai berlaku kecuaian meninggalkan bayi berkenaan berseorangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Asmadi berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bayi itu disedari terjatuh katil pada 6.15 petang Sabtu lalu oleh pengasuhnya yang berusia 24 tahun dengan kepalanya berada di dalam tong sampah di tepi katil.

Siasatan awal mendapati bayi itu dihantar oleh bapanya sejak berusia 30 hari untuk dijaga dua beranak terbabit. Kedua-duanya ditahan reman sebelum ini untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Pengasuh jaga atas kepercayaan keluarga

Bayi maut jatuh katil

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 4:29pm
d