mutakhir

SPRM serah klip audio kepada polis

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

SEBAHAGIAN daripada sembilan rakaman klip audio yang didakwa perbualan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa individu berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sudah diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dan kini sedang menunggu agensi itu membuka kertas siasatan atau memanggil mana-mana pihak berkaitan untuk memberi keterangan.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bila sebahagian rakaman itu diserahkan kepada pihak polis.

Ditanya sama ada SPRM bersedia mendedahkan sumber yang menyerahkan rakaman audio itu kepada polis, Latheefa berkata pihaknya terbuka untuk siasatan itu.

“Sudah tentu apa yang kami dedahkan perlu disiasat dan kami sudah memaklumkan kepada pihak polis sebab mereka perlu memulakan siasatan.

“Dalam pendedahan itu, ada beberapa elemen kesalahan yang mana pihak SPRM pun boleh siasat dan pihak polis pun boleh siasat, jadi kita akan menyerahkan kepada pihak yang berautoriti (menjalankan siasatan lanjut),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di pejabatnya di Ipoh, hari ini.

Mengenai kenyataan barisan peguam Najib yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Latheefa dan SPRM susulan pendedahan rakaman audio itu, Latheefa berkata itu hak mereka untuk berbuat demikian.

“Saya tidak mahu komen lanjut, dia boleh buat apa yang dia mahu buat berhubung isu ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pendedahan itu bermotif politik kerana dilakukan menjelang Pilihan Raya Kecil (PKR) Kimanis pada 18 Januari ini, katanya, perkara itu terpulang kepada sesiapapun untuk kemukakan pendapat masing-masing.

Semalam, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut dalam rakaman perbualan berkaitan skandal dana 1MDB dan SRC.

Senarai itu termasuk beberapa pemimpin asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan berdurasi keseluruhan 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media, di sini.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM pada awal tahun ini daripada entiti yang tidak didedahkan dan agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit adalah tulen.

Berita berkaitan

'Saya akan rujuk peguam' - Najib [METROTV]

Dedah demi kepentingan awam

SPRM dedah rakaman audio 'mengejutkan'

Disiarkan pada: January 9, 2020 @ 2:53pm
d