mutakhir

Gantung tugas pegawai ditahan polis - Syed Saddiq

Oleh Suraya Roslan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bertindak menggantung tugas pegawainya yang ditahan polis selepas disyaki positif dadah, awal pagi hari ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penahanan beberapa individu termasuk pegawai KBS oleh pihak polis dalam kejadian itu.

“Susulan itu, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak mengikut prinsip 'Rule of Law'.

“Saya akan menggantung tugas pegawai Kementerian Belia dan Sukan yang terbabit sementara menanti siasatan dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tertakluk kepada undang-undang negara tanpa mengira jawatan dan status.

Terdahulu, tular seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi di pusat hiburan.

Dalam satu tular lain pula, mereka berusia antara 26 hingga 53 tahun termasuk enam wanita itu dikatakan ditahan pada 4.45 petang semalam di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Berita berkaitan

'Adhif Syan memang ditahan polis - BERSATU Selangor'

'ADUN Dengkil nafi positif dadah'

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 1:51pm
d