mutakhir

Tunggu siasatan polis - BERSATU

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tanpa maklumat asas berhubung dakwaan penahanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang tular di media sosial, hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, dakwaan tular mengenai ADUN berkenaan ditahan dipercayai terbabit dengan dadah belum sahih, malah perkara itu masih dalam siasatan polis.

“Perkara itu (ditahan dan dipercayai terbabit dadah) belum sahih lagi. Dia (ADUN) sendiri tidak mengakui, malah berada di rumah ketika tempoh kejadian didakwa.

“Apapun, kita tunggu sahaja siasatan polis,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengulas mengenai proses pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat cawangan, bahagian dan majlis pimpinan tertinggi (MPT) termasuk sayap Srikandi dan Armada tercemar, malah didakwa ada cubaan pihak tertentu meraih undi susulan dakwaan penahanan itu, katanya, mereka yang didapati melanggar peraturan parti perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“BERSATU sebuah parti yang membudayakan ahli dan pimpinan berintegriti.

“Jika sabit kesalahan, maka orang macam itu tidak perlu ada dalam parti dan kalau perlu, lucutkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, penangguhan penamaan calon parti di setiap negeri di seluruh negara, yang sepatutnya dijadualkan berlangsung hari ini kepada 26 Januari depan, tiada kaitan dengan kejadian terbabit.

“Keputusan (penangguhan) itu dibuat di peringkat tertinggi bagi melicinkan perjalanan parti. Segala kelemahan perlu diperbetulkan.

“Kita perlu sedikit masa lagi bagi mengemaskini daftar keahlian sebab itu ditangguhkan bagi mengembalikan hak kepada ahli dan memberi peluang memahami sistem pemilihan kita,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang ADUN Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 berusia 26 hingga 53 tahun ditahan dalam satu operasi, 4.45 petang di sebuah kondominium, Jalan Puchong, semalam.

Hasil siasatan lanjut, polis turut menemukan serbuk dipercayai dadah serta rokok dipercayai berisi ganja serta saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif.

Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengesahkan ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah ditahan polis seperti yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Berita berkaitan

Biro Disiplin AMK sahkan anggota ditahan

Saya ke kondo untuk berbincang - Adhif Syan

Tiada siapa melebihi undang-undang negara

Adhif Syan memang ditahan polis - BERSATU Selangor

ADUN Dengkil nafi positif dadah

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 6:44pm
d