mutakhir

Sempat makan bersama kali terakhir

Oleh Zaid Salim

“SEBELUM kejadian, dia makan bersama saya di rumah dan tidak menyangka itu kali terakhir saya makan bersamanya,” kata Ismaniza Ismail, 32.

Dia adalah ibu kepada Muhammad Aiman Alfian Abdullah, 7, murid tahun satu yang meninggal dunia selepas terjatuh di Sungai Terengganu dekat Pulau Duyong, di Kuala Terengganu, 6.30 petang semalam.

Menurut Ismaniza, dia menyangka anaknya berada di ruang tamu selepas makan dan menyedari kanak-kanak itu keluar apabila mendapati Muhammad Aiman tiada di ruang berkenaan.

“Memang setiap petang dia keluar bermain dengan rakannya tetapi tidak sangka dia bermain bola di kawasan itu kerana sebelum ini Aiman hanya bermain di kawasan berhampiran rumah sahaja... lagi pun dia tidak pernah bermain bola sebelum ini.

“Saya terkejut apabila rakan sebayanya datang ke rumah memberitahu Aiman lemas dan bergegas ke tempat kejadian, kira-kira 400 meter dari rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, sebelum itu, kira-kira 3 petang, dia bersama suami, Shamsul Hizam Sulong, 42, sempat membawa Muhammad Aiman ke Pasar Manir dan membelinya sepasang selipar.

Shamsul Hizam yang juga bapa tiri mangsa berkata, ketika kejadian, dia berada di Kampung Seberang Takir kerana menghantar air batu kepada nelayan di kawasan berkenaan.

Katanya, sebaik dimaklumkan, dia yang bekerja sebagai pemandu di sebuah kilang memproses air batu bergegas pulang sebelum ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di tempat kejadian, saya melihat orang ramai mengusung anak ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Menurutnya, ketika di bilik kecemasan, doktor berusaha menyelamatkannya tetapi gagal dan anaknya disahkan meninggal dunia, kira-kira 20 minit kemudian.

“Walaupun Mohammad Aiman anak tiri, tetapi sayang saya kepadanya macam anak kandung dan pemergiannya secara mengejut sangat dirasai.

“Bagaimanapun ia sudah takdir dan saya bersama isteri reda menerimanya walaupun pahit untuk ditelan,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Mohammad Aiman Alfian dikatakan tergelincir sebelum jatuh ke Sungai Terengganu.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mencuci kaki selepas bermain bola bersama rakan berhampiran sungai berkenaan di Kampung Pulau Duyong.

Berita berkaitan:

  • Ajal cuci kaki tepi sungai
  • Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 9:35am
    d