mutakhir

Kenapa ni pak cik?

Oleh Roselan Ab Malek

KERETA yang terbabas dan melanggar pagar serta rumah teres di Taman Bukit Bendera di Mentakab, Temerloh petang semalam dipandu warga emas berusia 74 tahun.

Kejadian jam 6.10 petang itu menyebabkan tiga pintu pagar patah dan rosak, manakala tiang garaj kereta di bahagian hadapan sebuah rumah patah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, ketika kejadian warga emas yang tinggal di taman berkenaan ingin ke bandar Mentakab dengan memandu Proton Iswara dari rumahnya.

Katanya, ketika mengundurkan kereta dari rumahnya, warga emas berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak secara mengejut beberapa kali dan melanggar pagar rumah di hadapan rumahnya.

“Apabila hendak ke hadapan pemandu dipercayai tertekan minyak sekali lagi dan melanggar pagar serta sebuah kereta yang berada di dalam pagar rumah bersebelahan rumahnya.

“Ketika pemandu berkenaan cuba mengundurkan semula keretanya, dia sekali lagi melanggar rumah pertama itu,” katanya hari ini.

Mohd Yusri berkata, pemandu itu meneruskan perjalanan, bagaimanapun kenderaan dinaiki melanggar pagar sebuah rumah di lorong berlainan dan terbabas.

Katanya, ia menyebabkan pintu pagar dan tiang hadapan rumah berkenaan patah.

“Pemandu berkenaan tidak mengalami kecederaan serius, tetapi hanya mengalami sakit bahagian belakang.

“Ketika kejadian tiada penghuni di luar dan di dalam rumah teres berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • INFOGRAFIK

    Kereta rempuh rumah

  • Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 2:02pm
    d