mutakhir

Tiga negatif, seorang tunggu ujian koronavirus

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga daripada empat pesakit yang disyaki menghidap koronavirus atau dikenali sebagai 2019 n-CoV di negara ini didapati negatif jangkitan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan siasatan lanjut dijalankan.

“Ujian makmal yang dijalankan terhadap sampel milik tiga pesakit iaitu dua dari Selangor dan seorang dari Sabah didapati negatif bagi jangkitan itu.

“Kita masih belum menerima laporan ujian makmal bagi seorang lagi pesakit dari Sabah. Namun, pesakit terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 448 kes disahkan dijangkiti koronavirus dengan kebanyakannya dilaporkan di China sehingga kelmarin.

Beliau berkata, sembilan daripadanya dilaporkan dari luar China tetapi mempunyai sejarah perjalanan melawat Wuhan.

“Sehingga kini, cara jangkitan masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk dan sukar bernafas.

“Terdapat kemungkinan berlaku penularan daripada individu kepada individu lain khususnya yang rapat.

“Namun siasatan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih tidak dapat memberikan jawapan jelas dan mengenal pasti cara jangkitan,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini WHO belum mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan China.

Beliau berkata, pihaknya menyarankan orang ramai yang ingin melawat Wuhan supaya menangguhkan perjalanan kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 7:49pm
    d