mutakhir

Koronavirus: Cara jangkitan belum jelas

Oleh Yusmizal Dolah Aling

CARA jangkitan Koronavirus 2019-nCoV masih tidak diketahui dengan jelas namun kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat bukti menunjukkan berlakunya penularan dari seorang individu kepada individu lain (human-to-human transmission), khususnya dalam kalangan kontak rapat.

Katanya, orang ramai khususnya pengembara ketika berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia diingatkan supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan.

“Penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan perlu sentiasa dibawa bersama untuk digunakan apabila perlu sepanjang tempoh lawatan dan elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai serta bergaul rapat dengan mana-mana individu yang berisiko.

“Ketika dalam lawatan, elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan atau menyentuh sebarang jenis haiwan selain elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan berkenaan. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu melalui maklumat diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, KKM akan sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan terkini berkaitan wabak koronavirus termasuklah pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya secara berterusan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 5:03pm
    d