mutakhir

Tiada kes koronavirus di Terengganu

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu menyangkal dakwaan kononnya terdapat lima individu yang baru pulang dari Wuhan, China dan disyaki dijangkiti koronavirus baharu (2019-nCoV) sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Penafian itu dibuat selepas tular satu kenyataan dimuat naik di Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) oleh individu menggunakan nama Ali Dapicey.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga semalam tiada sebarang kes yang disyaki mengalami jangkitan 2019-nCoV yang dimasukkan ke mana-mana hospital di negeri ini.

“Sehubungan itu, kami meminta masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dalam mengurangkan risiko dijangkiti wabak itu.

“Kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk yang betul dan mengelakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai selain tidak bergaul dengan individu yang mempunyai gejala penyakit itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 2:40pm
    d