mutakhir

Ketat saringan di pintu masuk Kelantan

Oleh BERNAMA

JABATAN Kesihatan Kelantan memperketat proses saringan awal bagi mengesan individu yang disyaki mempunyai simptom koronavirus baharu (2019-nCoV).

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya menempatkan alat pengesan haba di keempat-empat pintu masuk utama di sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, ia termasuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dan tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) iaitu di Bukit Bunga, Tanah Merah; Rantau Panjang, Pasir Mas serta Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Pegawai yang ditempatkan di keempat-empat pintu masuk itu akan menyaring mana-mana individu yang masuk ke negeri ini.

“Sekiranya ada individu yang mempunyai tanda klinikal, pegawai perubatan bertugas akan menentukan sama ada mereka akan dirawat atau perlu dimasukkan ke wad,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dr Zaini berkata, tumpuan utama saringan membabitkan individu dari kawasan yang mempunyai kes terutama di LTSIP memandangkan terdapat penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini berkata, pihaknya juga mengagihkan kad nasihat kepada orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom berkaitan virus berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kes berhubung jangkitan koronavirus dilaporkan berlaku di Kelantan setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 4:18pm
    d