mutakhir

Keputusan ujian koronavirus diketahui esok [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KEPUTUSAN ujian sampel dari dua kanak-kanak perempuan dari China yang disyaki mempunyai simptom wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) hanya diketahui dalam tempoh 24 jam dari sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar dan Agama negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, setakat ini kedua-duanya yang berusia dua dan empat tahun itu masih dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi.

Beliau berkata, setakat ini mereka masih dipantau dan diberi rawatan lanjut sehingga keputusan diketahui nanti.

“Mereka sebelum ini hanya mempunyai simptom demam, batuk dan selesema namun kita tidak boleh mengesahkan mereka positif virus ini kerana ia bergantung pada keputusan sampel yang diambil itu.

“Sampel ujian diambil membabitkan kahak dan di bahagian kerongkong dua kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika melakukan lawatan di pengimbas suhu haba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Media semalam melaporkan, dua kanak-kanak itu bercuti di Langkawi sejak Jumaat lalu bersama ibu bapa dan dimasukkan ke wad HSM jam 1 tengah hari semalam.

Setakat ini, dua kanak-kanak perempuan yang berasal dari Guang Dong, China itu hanya disyaki dijangkiti virus koronavirus dan pihak hospital sedang membuat pemeriksaan lanjut terhadap simptom yang ada pada mereka.

Bagaimanapun, kedua ibu bapa mereka tidak menunjukkan sebarang tanda berkaitan penyakit itu.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata, setakat ini 16,000 pelancong memasuki pintu masuk negara ini melalui ICQS Bukit Kayu Hitam sejak 1 Januari lalu dan menjalani mesin pengimbas suhu di sini.

Namun katanya, daripada jumlah itu, hanya 14 daripadanya dikesan warga China namun kesemua mereka negatif dan tidak mempunyai simptom demam, batuk dan selesema.

“Tiada pesakit yang direkodkan mempunyai simpton virus itu dikesan di sini dan sebuah ambulans diletakkan untuk persediaan sekiranya ada pesakit yang perlu dirujuk ke hospital.

“Selain itu, pelancong yang masuk melalui Kota Putra di Durian Burung juga diperiksa secara manual untuk memastikan mereka tidak mempunyai masalah kesihatan atau virus berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 6:20pm
    d